Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah

Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang berkuat kuasa pada 1 Disember 2022, diperkenalkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022. Skim ini bertujuan untuk menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada golongan suri rumah daripada bencana domestik dan keilatan semasa menguruskan rumah tangga.

Takrifan Suri Rumah

Seorang perempuan sama ada berkahwin atau belum, yang menguruskan rumah tangga secara sepenuh masa atau tidak; termasuk isteri, ibu, janda, balu atau ibu tunggal.

 

Caruman

Caruman RM120 bagi tempoh 12 bulan berturut-turut yang perlu dibayar terlebih dahulu. Caruman boleh dibuat oleh suami, suri rumah, keluarga atau mana-mana pihak ketiga bagi suri rumah tersebut.

Prinsip 'once in, always in' akan terpakai bagi suami yang memilih untuk membuat caruman bagi isterinya.

 

Perlindungan

  • SKSSR memberi perlindungan bencana domestik kepada suri rumah yang mengalami kemalangan atau apa-apa insiden semasa melakukan urusan berkaitan rumah tangga.

  • SKSSR juga melindungi suri rumah yang ditimpa penyakit atau keuzuran.

Syarat Kelayakan

  • Warganegara Malaysia / pemastautin tetap

  • Suri rumah yang belum mencapai umur 55 tahun/belum mencapai umur 54 tahun pada tarikh pertama kali hendak mencarum SKSSR

  • Membayar caruman untuk tempoh 12 bulan, yang dibayar terlebih dahulu

Faedah Perlindungan Bencana Domestik

Faedah Perubatan

Suri rumah yang ditimpa bencana domestik boleh mendapatkan rawatan perubatan dan layanan pesakit luar di hospital, klinik atau institusi lain.

Faedah Hilang Upaya Kekal

Suri rumah yang mengalami satu atau lebih hilang upaya kekal akibat bencana domestik, boleh memohon dan menerima bayaran Faedah Hilang Upaya Kekal secara sekali gus dengan pengesyoran oleh penilai perubatan atau Jemaah Doktor Rayuan

Elaun Layanan Sentiasa

Dibayar secara bulanan kepada suri rumah yang menerima Faedah Hilang Upaya Kekal atau Elaun Keuzuran akibat tidak berupaya dengan teruk hingga sentiasa memerlukan layanan peribadi daripada orang lain.

Suri rumah layak menerima elaun ini setelah diperakukan oleh penilai perubatan atau Jemaah Doktor Rayuan. Bayaran elaun akan terhenti apabila suri rumah mencapai umur 55 tahun atau meninggal dunia.

 

Faedah Pengurusan Mayat

Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 dibayar sekali (one-off) kepada orang tanggungan yang layak jika suri rumah berinsurans meninggal dunia sebelum mencapai umur 55 tahun.

Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Dialisis

Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Dialisis disediakan kepada suri rumah yang layak setelah diperakukan menghidap hilang upaya kekal atau keilatan oleh penilai perubatan atau Jemaah Doktor Rayuan.

Sekiranya perlu, suri rumah akan diberikan bekalan prostetik, ortotik atau lain-lain alat, tanpa sebarang kos.

Pencen Penakat

Sekiranya suri rumah meninggal dunia akibat bencana domestik atau  ketika sedang menerima Elaun Keuzuran, dengan syarat kematian berlaku sebelum umur 55 tahun, Pencen Penakat dibayar kepada orang tanggungan yang layak iaitu duda sehingga mencapai umur 55 tahun atau meninggal dunia, dan kepada setiap anak sehingga berumur 21 tahun atau berkahwin. Jika tidak meninggalkan duda atau anak, Pencen Penakat akan dibayar kepada ibu atau bapa sehingga mereka berumur 55 tahun atau meninggal dunia.

Bagi anak yang sedang menuntut, Pencen Penakat akan terus dibayar sehingga tamat pengajian ijazah pertama atau berkahwin. Pencen ini dibayar secara berterusan kepada anak yang terencat akal, kurang upaya fizikal dan tidak berupaya menanggung dirinya sendiri, sehingga berumur 55 tahun.

Faedah Perlindungan Keilatan

Elaun Keuzuran

Dibayar secara bulanan kepada suri rumah yang menghidap keilatan dengan pengesyoran penilai perubatan atau Jemaah Doktor Rayuan.

Suri rumah dianggap menghidap keilatan akibat sesuatu keuzuran yang berkekalan, sehingga tidak lagi berupaya melaksanakan sebahagian besar aktiviti menguruskan rumah tangga.

Pemberian elaun ini akan berakhir setelah keilatan yang dialami suri rumah terhenti, mencapai umur 55 tahun atau meninggal dunia.

Elaun Layanan Sentiasa

Dibayar secara bulanan kepada suri rumah yang menerima  Elaun Keuzuran atau Faedah Hilang Upaya Kekal akibat tidak berupaya dengan teruk hingga sentiasa memerlukan layanan peribadi orang lain.

Suri rumah layak menerima elaun ini setelah diperakukan oleh penilai perubatan atau Jemaah Doktor Rayuan. Bayaran elaun akan terhenti apabila suri rumah mencapai umur 55 tahun atau meninggal dunia.

 

Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Dialisis

Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Dialisis disediakan kepada suri rumah yang layak setelah diperakukan menghidap keilatan  atau hilang upaya kekal oleh penilai perubatan atau Jemaah Doktor Rayuan.

Sekiranya perlu, suri rumah akan diberikan bekalan prostetik, ortotik atau lain-lain alat, tanpa sebarang kos.

Faedah Pengurusan Mayat

Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 dibayar sekali (one-off) kepada orang tanggungan yang layak jika suri rumah berinsurans meninggal dunia sebelum mencapai umur 55 tahun.

Pencen Penakat

Sekiranya suri rumah yang sedang menerima Elaun Keuzuran meninggal dunia  atau beliau meninggal dunia akibat bencana domestik, dengan syarat kematian berlaku sebelum usia 55 tahun, Pencen Penakat dibayar kepada orang tanggungan yang layak iaitu duda sehingga mencapai umur 55 tahun atau meninggal dunia, dan kepada setiap anak sehingga berumur 21 tahun atau berkahwin. Jika tidak meninggalkan duda atau anak, Pencen Penakat akan dibayar kepada ibu atau bapa sehingga mereka berumur 55 tahun atau meninggal dunia.

Bagi anak yang sedang menuntut, Pencen Penakat akan terus dibayar sehingga tamat pengajian ijazah pertama atau berkahwin. Pencen ini dibayar secara berterusan kepada anak yang terencat akal, kurang upaya fizikal dan tidak berupaya menanggung dirinya sendiri, sehingga berumur 55 tahun.

Menara PERKESO, Jalan Ampang, Kuala Lumpur

Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

1-300-22-8000

Copyright 2020 © Social Security Organisation | All rights reserved