Pekerja Domestik

Peluasan Liputan Perlindungan Keselamatan Sosial Kepada Pekerja Domestik

Pekerja domestik akan dilindungi di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan (Akta 800) yang berkuat kuasa pada 1 Jun 2021. 

Bermula 1 Jun 2022, semua majikan dan pekerja domestik adalah DIWAJIBKAN untuk berdaftar dan mencarum dengan PERKESO di bawah Akta Keselamatan Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

Kewajipan mendaftar dan mencarum dengan PERKESO ini juga adalah terpakai kepada mana-mana pekerja domestik dengan polisi insurans berkaitan bencana kerja dan keilatan yang akan tamat selepas 31 Mei 2022.

Definisi Pekerja Domestik

Seorang pekerja domestik yang diambil bekerja semata-mata dalam kerja atau yang berkaitan dengan kerja bagi suatu rumah kediaman persendirian dan bukan diambil bekerja bagi apa-apa perdagangan, perniagaan atau profesion yang dijalankan oleh majikan sama ada di dalam atau di luar rumah kediaman itu.

Contoh Pekerja Domestik

  • Pembantu rumah

  • Pemandu peribadi

  • Tukang kebun

  • Pengawal peribadi

  • Pengawal keselamatan

  • Tukang masak

  • Penjaga orang tua

  • Pengasuh bayi / kanak-kanak

Syarat Pekerja Domestik

  • Warganegara / pemastautin tetap (PR) / pemastautin sementara (TR).
  • Warganegara asing dengan dokumen perjalanan yang sah.

Syarat Majikan

  • Majikan warganegara Malaysia.
  • Majikan warganegara asing boleh menggajikan pekerja warganegara Malaysia sahaja.

Pendaftaran

Proses pendaftaran bagi pekerja domestik adalah sama seperti pendaftaran bagi pekerja formal di mana majikan bertanggungjawab untuk mendaftar dan mencarum pekerja mengikut kelayakan manakala pekerja perlu memastikan anda telah didaftar dan dicarum. Untuk proses pendaftaran, sila rujuk di sini:

Selanjutnya

Caruman

Kadar caruman adalah sama seperti kadar caruman bagi Akta Keselamatan Pekerja 1969 dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (rujuk kadar caruman). Terdapat dua kaedah pembayaran untuk caruman pekerja domestik iaitu melalui Portal ASSIST atau secara pendahuluan melalui aplikasi mudah alih Prihatin.

Panduan Bayaran Melalui Prihatin

Selanjutnya

Video Panduan Bayaran Di Prihatin

Selanjutnya

Kelayakan Skim

Akta/Pekerja Domestik Akta 4 Akta 800
Skim Bencana Pekerjaan Skim Keilatan Sistem Insurans Pekerjaan
Warganegara Malaysia Layak Layak Layak
Pemastautin Tetap (PR) Layak Layak Layak
Pemastautin Sementara (TR) Layak Layak Layak
Pekerja Asing Layak Tidak Layak Tidak Layak
Kadar Caruman Majikan 1.25% 0.5% 0.2%
Kadar Caruman Pekerja - 0.5% 0.2%

Info Berkaitan

Pekeliling Majikan

Soalan Lazim

Panduan Pendaftaran

Muat-turun Risalah

Baca selanjutnya: Pekerja Domestik

Profil

Latar Belakang
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah ditubuhkan sebagai sebuah Jabatan Kerajaan di bawah Kementerian Sumber Manusia bagi mentadbir, melaksana dan menguatkuasakan Akta Keselamatan Sosial Pekerja (AKSP) 1969 dan Peraturan-Peraturan (Am) Keselamatan Sosial Pekerja 1971. Pada 1 Julai 1985, status PERKESO telah berubah kepada sebuah Badan Berkanun dan mulai 1 Januari 1992, PERKESO telah melaksanakan sistem saraannya sendiri iaitu Sistem Saraan Baru PERKESO.

Fungsi dan Peranan
Konsep Perlindungan Keselamatan Sosial PERKESO adalah berteraskan konsep tanggungjawab bersama menerusi sumber terkumpul, perkongsian risiko dan penggantian pendapatan (pooling of resources, sharing of risk and replacement of income). Perlindungan keselamatan sosial adalah asas yang perlu dipenuhi sebagaimana yang dipersetujui di bawah Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) 1952 iaitu Konvensyen 102; Minimum Standard for Social Security. Dalam memenuhi matlamat tersebut, fungsi utama PERKESO adalah untuk memberi perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja dan tanggungannya menerusi skim-skim perlindungan yang diperkenalkan.

VISI

Peneraju Keselamatan Sosial yang Unggul, Komprehensif dan Dinamik.

MISI

Memberi perlindungan keselamatan sosial yang komprehensif demi kesejahteraan sosial semua sepanjang hayat.

Peranan Utama PERKESO

  • Mentadbir dan menguatkuasakan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017, Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 dan Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022;  

  • Mengurus dan melaksanakan skim perlindungan keselamatan sosial yang diperuntukkan di bawah ke empat-empat Akta; 

  • Memastikan dana keselamatan sosial sentiasa mapan dan kukuh bagi memastikan kelestarian pengoperasian;  

  • Mempromosikan kesedaran perlindungan keselamatan sosial dan pengurusan risiko yang baik menerusi program pencegahan, keselamatan dan pemulihan yang berimpak tinggi kepada semua golongan masyarakat;   

  • Memperluaskan jaringan keselamatan sosial yang lebih inklusif dan sejagat untuk meningkatkan kesedaran keterangkuman kewangan (financial inclusiveness) dan kesejahteraan pelanggan;   

  • Menyampaikan perkhidmatan berkualiti dan efisien melangkaui ekspektasi pelanggan selaras dengan konsep ‘ selaku pengamal keselamatan sosial menerusi pendigitalan pengoperasian  

Moto

PERKESO itu Prihatin, Prihatin itu PERKESO

Baca selanjutnya: Profil

Pekerja Asing

Bermula 1 Januari 2019, semua majikan dikehendaki mendaftar pekerja asing yang diambil bekerja untuk perlindungan Skim Bencana Kerja PERKESO di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 ( Akta 4 ). Caruman bagi skim ini ditetapkan pada kadar 1.25% daripada gaji bulanan dan dibayar setiap bulan oleh majikan. Pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian iaitu melalui portal ASSIST PERKESO atau dengan melengkapkan Borang Pendaftaran Pekerja Asing dan dikemukakan ke pejabat PERKESO yang berdekatan.

Pekerja asing yang sedia ada dalam Malaysia dan masih dilindungi di bawah Skim Pampasan Pekerja Asing (SPPA) yang sah hendaklah didaftar dengan PERKESO oleh majikan sehari selepas tamat tempoh matang SPPA yang tertakluk kepada tarikh akhir SPPA pada 31 Disember 2019 ( cooling period ). Mulai 1 Januari 2020, semua majikan hendaklah berdaftar dengan PERKESO walaupun pekerja asing tersebut masih diliputi di bawah SPPA.

Pekerja asing yang baru masuk untuk bekerja di Malaysia pada atau selepas 1 Januari 2019 hendaklah berdaftar dengan PERKESO sebaik mereka mendapat pengesahan Jabatan Imigresen Malaysia di mana-mana tempat kemasukan ( port of entry ) yang diwartakan.

Syarat Kelayakan

  • Mempunyai pasport dan pas khas untuk pekerja asing baharu
  • Mempunyai pasport dan Pas Lawatan Kerja Sementara ( PLKS ) atau pas kerja yang sah untuk pekerja asing yang sedia ada.

Pendaftaran

Pendaftaran pekerja hendaklah dilakukan oleh majikan manakala pekerja bertanggungjawab untuk memastikan diri anda didaftar dan caruman dibayar sepenuhnya oleh kedua-dua pihak. Sila ke laman pendaftaran majikan untuk mengetahui lebih lanjut.

Selanjutnya

Faedah

  • Faedah Perubatan

    Pekerja asing yang ditimpa bencana pekerjaan boleh mendapat rawatan perubatan secara percuma di klinik panel PERKESO atau klinik/hospital kerajaan; atau membuat tuntutan bayaran ganti belanja kos rawatan perubatan di Pejabat PERKESO.

    Bayaran Ganti Belanja

    Bagi caj rawatan yang diperoleh dari klinik/hospital bukan panel PERKESO, majikan atau pekerja asing boleh mengemukakan permohonan tuntutan ganti belanja dan bayaran tertakluk kepada Akta Fi 1951.

  • Faedah Hilang Upaya Sementara

    Tempoh Hilang Upaya Sementara

    • Faedah ini dibayar kepada pekerja asing sepanjang tempoh cuti sakitnya yang disahkan oleh doktor dan mestilah sekurang-kurangnya 4 hari termasuk hari kemalangan.
    • Walau bagaimanapun, faedah ini TIDAK akan dibayar pada hari di mana pekerja asing hadir bekerja dan dibayar gaji.

    Kadar Faedah Hilang Upaya Sementara

    • Kadar harian faedah ini adalah 80% daripada gaji harian purata anggapan pekerja asing tertakluk kepada kadar minimum RM30.00 sehari dan maksimum RM132.00 sehari.
  • Faedah Hilang Upaya Kekal

    Pekerja asing yang mengalami hilang upaya kekal akibat bencana pekerjaan boleh memohon faedah ini.

    Kadar Faedah Hilang Upaya Kekal

    • Kadar harian faedah ini adalah 90% daripada gaji harian purata anggapan pekerja asing tertakluk kepada kadar minimum RM30.00 sehari dan maksimum RM148.50 sehari.

    Tempoh Tuntutan

    • Had masa membuat tuntutan adalah dalam tempoh 12 bulan dari tarikh terakhir hilang upaya sementara.

    Taksiran dan Pembayaran

    • Tuntutan akan dirujuk ke Jemaah Doktor untuk taksiran hilang upaya kekal.
    • Sekiranya taksiran tidak melebihi 20%, bayaran boleh dibuat secara pukal.
    • Sekiranya taksiran melebihi 20%, 1/5 daripada kadar harian faedah tersebut dibayar secara pukal dan bakinya dibayar secara bulanan sepanjang hayat.
  • Elaun Layanan Sentiasa

    Pekerja asing yang menerima taksiran hilang upaya langsung yang kekal (100 peratus) dan memerlukan layanan seseorang lain, layak menerima elaun ini dengan pengesyoran Jemaah Doktor atau Jemaah Doktor Khas atau Jemaah Doktor Rayuan.

    Jumlah bayaran ini adalah sebanyak RM500.00 sebulan.

  • Kemudahan Pemulihan

    Kemudahan ini diberikan kepada pekerja asing yang layak dalam bentuk pemulihan jasmani termasuk:

    1. Fisioterapi
    2. Pembedahan rekonstruktif
    3. Bekalan prostetik, ortotik dan lain-lain alat
    4. Bekalan ortopedik seperti kerusi roda, tongkat, alat pendengaran, cermin mata, kasut khas dan lain-lain

    Semua perbelanjaan kemudahan pemulihan di atas ditanggung oleh PERKESO mengikut kadar dan syarat-syarat yang ditetapkan.

  • Faedah Orang Tanggungan

    Orang tanggungan layak menerima faedah ini sekiranya pekerja asing meninggal dunia akibat bencana pekerjaan.

    Kadar Faedah Orang Tanggungan

    • Kadar harian adalah 90% daripada gaji harian purata anggapan pekerja asing tertakluk kepada kadar minimum RM30.00 sehari dan maksimum RM148.50 sehari mengikut syer kadar harian orang tanggungan.

    Orang Tanggungan dan Syer Kadar Harian.

    i. Orang tanggungan dan syer kadar harian adalah mengikut keutamaan berikut:

    Orang Tanggungan Syer Kadar Harian Keterangan
    Balu/Duda 3/5 Layak menerima faedah seumur hidup meskipun balu atau duda berkahwin semula

    Anak (Semua anak yang memenuhi syarat layak mendapat faedah termasuk anak kandung, anak tiri yang disara, anak angkat atau anak tidak sah taraf)

    2/5 Layak menerima faedah sehingga umur 21 tahun atau berkahwin (yang mana terdahulu)


    Jika sedang belajar di Institusi Pengajian Tinggi, faedah dibayar sehingga mendapat ijazah pertama atau berkahwin (yang mana terdahulu)
    Bagi anak yang terencat akal atau menjadi tidak berupaya secara fizikal dan tidak berupaya menanggung dirinya sendiri, layak menerima faedah selama tidak berupaya menyara kehidupannya


    ii. Jika seseorang pekerja meninggal dunia akibat bencana pekerjaan dan tidak meninggalkan balu atau, duda atau anak, Faedah Orang Tanggungan akan dibayar kepada:

    Orang Tanggungan Syer Kadar Harian Keterangan
    Ibu/Bapa 4/10 Layak menerima faedah seumur hidup
    Adik-beradik 3/10 Layak menerima faedah sehingga umur 21 tahun atau berkahwin (yang mana terdahulu
    Nenek/datuk 4/10 Layak menerima faedah seumur hidup

     

  • Faedah Pengurusan Mayat

    Pembayaran faedah akan dibuat kepada waris yang layak atau pihak yang menanggung kos pengebumian. Jumlah bayaran adalah jumlah sebenar perbelanjaan ataupun maksimum amaun bayaran mengikut mana yang lebih rendah berdasarkan resit yang dikemukakan.

    Amaun maksimum bayaran faedah ini adalah seperti di bawah:

    • Jika kematian berlaku di Malaysia dan pengebumian berlaku di negara asal, bayaran tunai maksimum sebanyak RM6,500 termasuk kos penghantaran jenazah/abu ke negara asal.
    • Jika kematian dan pengebumian hanya berlaku di Malaysia, amaun maksimum sebanyak RM2,000 akan dibayar.
    • Bagi penerima faedah berkala, jika kematian dan pengebumian berlaku di negara asal, amaun maksimum sebanyak RM2,000 akan dibayar.

Inisiatif Tambahan - Kos Penghantaran Pulang Jenazah

Selain faedah yang dinyatakan di atas, PERKESO juga ada memberikan inisiatif tambahan sekiranya pekerja asing meninggal dunia di Malaysia akibat sebarang sebab yang tidak berkaitan dengan pekerjaannya.

Kos penghantaran pulang jenazah/abu pekerja asing yang telah meninggal dunia ke negara asal boleh dibayar balik oleh PERKESO maksimum sebanyak RM4,500.00 berdasarkan resit (tertakluk kepada perubahan semasa).

Info Berkaitan

Muat-turun Flyers

Warta Kerajaan Persekutuan

Pemberitahuan Keselamatan Sosial Pekerja (Pengecualian Pekerja-Pekerja Asing)(Pembatalan) 2018

Pemberitahuan Keselamatan Sosial Pekerja (Pengecualian) (No.2) 2018

Pemberitahuan Keselamatan Sosial Pekerja (Pengecualian) 2018

Pemberitahuan Keselamatan Sosial Pekerja (Pengecualian) 2018

Baca selanjutnya: Skim Bencana Kerja Pekerja Asing

Menara PERKESO, Jalan Ampang, Kuala Lumpur

Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

1-300-22-8000

Copyright 2023 © Social Security Organisation | All rights reserved