Skim Bencana Pekerjaan

Skim Bencana Pekerjaan memberi perlindungan kepada pekerja yang mengalami kemalangan atau suatu penyakit khidmat yang berpunca atau terbit daripada pekerjaannya. Perlindungan di bawah skim ini meliputi kemalangan berikut:

Kemalangan Semasa Menjalankan Pekerjaan

Kemalangan yang ditimpa ketika berada di tempat kerja atau sedang menjalankan urusan kerja.

Kemalangan Semasa Dalam Perjalanan
  • Mengikut laluan di antara tempat kediamannya atau tempat tinggalnya dengan tempat kerjanya
  • Dibuat bagi apa-apa sebab yang secara langsung berkaitan dengan penggajiannya
  • Di antara tempat kerjanya dengan tempat pergi makan dalam masa rehat yang dibenarkan
Kemalangan Semasa Kecemasan

Kemalangan yang berlaku semasa pekerja berada dalam atau berdekatan dengan mana-mana premis tempat bekerjanya bagi tujuan menyelamatkan, membantu atau melindungi orang yang mendapat bencana atau bahaya semasa kecemasan.

Penyakit Khidmat

Penyakit yang berpunca atau terbit daripada pekerjaan sebagaimana yang disenaraikan di Jadual Kelima, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Contoh Penyakit Khidmat:

  • Hilang pendengaran disebabkan oleh paras tekanan bunyi tinggi yang berterusan
  • Penyakit asma disebabkan oleh pekerjaan yang melibatkan pendedahan berterusan kepada sedutan habuk atau bahan kimia yang merbahaya dan sebagainya

Faedah Skim Bencana Pekerjaan

Faedah Perubatan

Pekerja yang ditimpa bencana pekerjaan atau menghidap penyakit khidmat boleh mendapat rawatan perubatan secara percuma di klinik panel PERKESO atau klinik/hospital Kerajaan sehingga pulih sepenuhnya.

Bagi kecederaan parah, rawatan mestilah diperolehi dari hospital Kerajaan dan pekerja akan diberi rawatan di wad kelas dua. Rawatan pakar akan diberi jika perlu.

Bayaran Ganti Belanja
Bagi caj rawatan yang diperolehi dari klinik bukan panel PERKESO, majikan atau pekerja boleh mengemukakan permohonan tuntutan ganti belanja dan bayaran tertakluk kepada kadar yang telah
ditetapkan oleh Pertubuhan atau mengikut Akta Fee 1951.

Faedah Hilang Upaya Sementara (HUS)

Tempoh Hilang Upaya Sementara
Faedah Hilang Upaya Sementara dibayar kepada pekerja sepanjang tempoh cuti sakitnya yang disahkan oleh doktor dan mestilah sekurang-kurangnya 4 hari termasuk hari kemalangan. Walau bagaimanapun, Faedah Hilang Upaya Sementara TIDAK akan dibayar pada hari di mana pekerja hadir bekerja dan dibayar gaji.

Kadar Faedah Hilang Upaya Sementara
Kadar harian Faedah Hilang Upaya Sementara adalah 80% daripada gaji harian purata anggapan pekerja. Kadar minimum bayaran faedah adalah RM30.00 sehari dan maksimum RM132 sehari.

Faedah Hilang Upaya Kekal (HUK)

Pekerja yang mengalami hilang upaya kekal akibat bencana pekerjaan boleh memohon faedah ini.

Kadar Faedah Hilang Upaya Kekal
Kadar harian Faedah Hilang Upaya Kekal adalah 90% daripada gaji harian purata anggapan pekerja tertakluk kepada kadar minimum RM30.00 sehari dan maksimum RM148.50 sehari.

Tempoh Tuntutan
Had masa membuat tuntutan adalah dalam tempoh 12 bulan dari tarikh terakhir hilang upaya sementara.

Taksiran dan Pembayaran
Tuntutan akan dirujuk ke Jemaah Doktor untuk taksiran hilang upaya kekal

  • Sekiranya taksiran tidak melebihi 20%, bayaran boleh dibuat secara pukal
  • Sekiranya taksiran melebihi 20%, 1/5 daripada kadar harian faedah tersebut dibayar secara pukal dan bakinya dibayar secara bulanan sepanjang hayat
Elaun Layanan Sentiasa

Pekerja yang menerima taksiran hilang upaya langsung yang kekal dan tidak berdaya dengan teruknya hingga sentiasa memerlukan layanan seseorang lain, layak menerima elaun ini dengan pengesyoran Jemaah Doktor atau Jemaah Doktor Khas atau Jemaah Doktor Rayuan.

Jumlah Elaun Layanan Sentiasa adalah ditetapkan sebanyak RM500 sebulan.

Kemudahan Pemulihan Jasmani/Vokasional

Kemudahan ini diberikan kepada pekerja yang layak dalam bentuk:

i. Pemulihan jasmani termasuk:

  • Fisioterapi
  • Terapi pekerjaan
  • Pembedahan rekonstruktif
  • Bekalan prostetik, ortotik dan lain-lain alat
  • Bekalan ortopedik seperti kerusi roda, tongkat, alat pendengaran, cermin mata, kasut khas dan lain-lain

ii. Pemulihan vokasional termasuk:

  • Latihan dalam bidang seperti elektrikal, jahitan, membaiki radio / TV, menaip dan lain-lain.

Semua perbelanjaan kemudahan pemulihan di atas ditanggung oleh PERKESO mengikut kadar dan syarat-syarat yang ditetapkan.

Faedah Orang Tanggungan (FOT)

Orang tanggungan layak menerima faedah ini sekiranya pekerja terlibat meninggal dunia akibat bencana pekerjaan.

Kadar Faedah Harian Yang Akan Dibayar
Kadar harian adalah 90% daripada gaji harian purata anggapan pekerja tertakluk kepada kadar minimum RM30.00 sehari dan maksimum RM148.50 sehari.

Orang Tanggungan dan Syer Kadar Harian
i. Orang tanggungan dan syer kadar harian adalah mengikut keutamaan berikut:

Orang Tanggungan Syer kadar harian Keterangan

 

Balu atau duda

 

3/5

Layak menerima faedah seumur hidup meskipun balu atau duda berkahwin semula (mulai atau selepas 1 Mei 2005)

Anak

 

Semua anak yang memenuhi syarat layak mendapat faedah termasuk anak kandung, anak tiri yang disara, anak angkat atau anak tidak sah taraf

2/5

 
(Jika balu atau duda meninggal dunia, bahagian anak menjadi 3/5)

 

  • Layak menerima faedah sehingga umur 21 tahun atau berkahwin (mana yang lebih awal)
  • Jika sedang belajar di Iinstitusi Pengajian Tinggi, terima faedah sehingga mendapat ijazah pertama atau berkahwin (mana yang lebih awal)
  • Bagi anak yang terencat mental atau menjadi tidak berupaya secara fizikal dan tidak berupaya menanggung dirinya sendiri, layak menerima faedah selama tidak berupaya menyara kehidupannya.

 

ii. Jika seseorang pekerja meninggal dunia akibat bencana pekerjaan dan tidak meninggalkan balu atau, duda atau anak, Faedah Orang Tanggungan akan dibayar kepada:

Orang Tanggungan Syer kadar harian 
Tempoh Bayaran
Ibu bapa 4/10
  • Layak menerima faedah seumur hidup
Adik-beradik 3/10
  • Layak menerima faedah sehingga umur 21 tahun atau berkahwin (mana yang lebih awal) 
Datuk atau nenek 
(Sekiranya ibu bapa tiada)
4/10
  • Layak menerima faedah seumur hidup
Faedah Pengurusan Mayat

Amaun sebanyak RM2,000 akan dibayar sekiranya seseorang pekerja meninggal dunia akibat daripada bencana kerja atau semasa menerima Faedah Hilang Upaya Kekal berkala. Pembayaran faedah akan dibuat kepada waris-waris yang layak. Sekiranya tiada waris, faedah akan dibayar kepada pihak yang menanggung segala perbelanjaan pengebumian itu.

Jumlah bayaran akan dibayar sama ada jumlah sebenar perbelanjaan ataupun RM2,000 mengikut mana yang lebih rendah berdasarkan resit yang dikemukakan.

Faedah Pendidikan

Faedah Pendidikan merupakan suatu kemudahan dalam bentuk pinjaman disediakan kepada anak tanggungan sekiranya orang berinsurans:

  • Meninggal dunia akibat bencana pekerjaan
  • Menerima bayaran berkala Faedah Hilang Upaya Kekal

Permohonan tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan PERKESO.

Makluman Kadar Caj Perkhidmatan Pendidikan PERKESO
Mulai 1 Januari 2013, kadar caj perkhidmatan pinjaman pendidikan bagi peminjam yang menerima tawaran pinjaman pendidikan sebelum 1 Januari 2009 telah diturunkan daripada 4% kepada 2%. Manakala bagi peminjam baru yang menerima tawaran selepas 1 Januari 2009, kadar caj perkhidmatan pinjaman pendidikan masih kekal 2%.

Borang - borang berkaitan tuntutan faedah boleh dimuat-turun pada pautan di bawah :

Menara PERKESO, Jalan Ampang, Kuala Lumpur

Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

1-300-22-8000

Copyright 2023 © Social Security Organisation | All rights reserved