Pekerja Domestik

Pekerja Domestik

Perlindungan Keselamatan Sosial Untuk Pekerja Domestik

Bermula 1 Jun 2021, pekerja domestik dilindungi di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan (Akta 800).

Semua majikan dan pekerja domestik adalah diwajibkan untuk berdaftar dan mencarum dengan PERKESO.

Definisi Pekerja Domestik

Seorang pekerja domestik yang diambil bekerja semata-mata dalam kerja atau yang berkaitan dengan kerja bagi suatu rumah kediaman persendirian dan bukan diambil bekerja bagi apa-apa perdagangan, perniagaan atau profesion yang dijalankan oleh majikan sama ada di dalam atau di luar rumah kediaman itu.

Contoh Pekerja Domestik

  • Pembantu rumah

  • Pemandu peribadi

  • Tukang kebun

  • Pengawal peribadi

  • Pengawal keselamatan

  • Tukang masak

  • Penjaga orang tua

  • Pengasuh bayi / kanak-kanak

Syarat Kelayakan

Pekerja Domestik Tempatan

  • Warganegara Malaysia / pemastautin Tetap / pemastautin Sementara; dan
  • Digajikan oleh warganegara Malaysia/ pemastautin tetap / pemastautin sementara / asing.

Pekerja Domestik Asing

  • Warga asing yang memiliki pasport dan pas kerja sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia; dan
  • Digajikan oleh warganegara Malaysia/ pemastautin tetap/ pemastautin sementara.

Pendaftaran & Pembayaran Caruman

Pendaftaran pekerja domestik hendaklah dilakukan oleh majikan. Majikan wajib memastikan caruman dibayar sepenuhnya mengikut kelayakan dan kadar yang telah ditetapkan. Kegagalan melaksanakan perkara tersebut adalah suatu kesalahan dan sekiranya disabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Prosedur Pendaftaran

Jenis Perlindungan Untuk Pekerja Domestik Berdasarkan Kelayakan

Akta / Pekerja Domestik Akta 4 Akta 4 Akta 800
Skim Bencana Pekerjaan Skim Keilatan Sistem Insurans Pekerjaan
Tempatan (Warganegara/Pemastautin Tetap/Pemastautin Sementara) / / /
Warganegara Asing / /
(Berkuatkuasa 1 Julai 2024)
X
Kadar Caruman Majikan 1.25% 0.5% 0.2%
Pekerja - 0.5% 0.2%

Caruman

Kadar caruman yang perlu dibayar adalah sebagaimana jadual caruman:

  • Pekerja Domestik Tempatan - Jadual Caruman Akta 4 dan Jadual Caruman Akta 800
  • Pekerja Domestik Asing  -  Jadual Caruman Akta 4

Kadar caruman boleh dirujuk melalui pautan di bawah:

Kadar Caruman

Terdapat dua (2) kaedah pembayaran untuk caruman pekerja domestik iaitu secara bulanan melalui Portal ASSIST atau secara pendahuluan sehingga 24 bulan melalui aplikasi mudah alih Prihatin:

Panduan Bayaran Melalui Prihatin

Selanjutnya

Video Panduan Bayaran Di Prihatin

Selanjutnya

Faedah yang disediakan

Faedah yang disediakan untuk pekerja domestik adalah sama seperti pekerja formal:

Bagi pekerja domestik tempatan :

Bagi pekerja domestik asing, kelayakan skim, kadar caruman dan jenis faedah untuk pekerja domestik asing adalah berdasarkan syarat-syarat yang sama seperti pekerja asing.

Skim-Skim Perlindungan Keselamatan Sosial Untuk Pekerja Asing

Info Berkaitan

Pekeliling Majikan

Soalan Lazim

Panduan Pendaftaran

Muat-turun Risalah

Baca selanjutnya: Pekerja Domestik

  • Hits: 197352

Profil

Profil

Latar Belakang
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah ditubuhkan sebagai sebuah Jabatan Kerajaan di bawah Kementerian Sumber Manusia bagi mentadbir, melaksana dan menguatkuasakan Akta Keselamatan Sosial Pekerja (AKSP) 1969 dan Peraturan-Peraturan (Am) Keselamatan Sosial Pekerja 1971. Pada 1 Julai 1985, status PERKESO telah berubah kepada sebuah Badan Berkanun dan mulai 1 Januari 1992, PERKESO telah melaksanakan sistem saraannya sendiri iaitu Sistem Saraan Baru PERKESO.

Fungsi dan Peranan
Konsep Perlindungan Keselamatan Sosial PERKESO adalah berteraskan konsep tanggungjawab bersama menerusi sumber terkumpul, perkongsian risiko dan penggantian pendapatan (pooling of resources, sharing of risk and replacement of income). Perlindungan keselamatan sosial adalah asas yang perlu dipenuhi sebagaimana yang dipersetujui di bawah Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) 1952 iaitu Konvensyen 102; Minimum Standard for Social Security. Dalam memenuhi matlamat tersebut, fungsi utama PERKESO adalah untuk memberi perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja dan tanggungannya menerusi skim-skim perlindungan yang diperkenalkan.

VISI

Peneraju Keselamatan Sosial yang Unggul, Komprehensif dan Dinamik.

MISI

Memberi perlindungan keselamatan sosial yang komprehensif demi kesejahteraan sosial semua sepanjang hayat.

Carta Organisasi PERKESO

Moto

PERKESO itu Prihatin, Prihatin itu PERKESO

Peranan Utama PERKESO

  • Mentadbir dan menguatkuasakan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017, Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 dan Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022;  

  • Mengurus dan melaksanakan skim perlindungan keselamatan sosial yang diperuntukkan di bawah ke empat-empat Akta; 

  • Memastikan dana keselamatan sosial sentiasa mapan dan kukuh bagi memastikan kelestarian pengoperasian;  

  • Mempromosikan kesedaran perlindungan keselamatan sosial dan pengurusan risiko yang baik menerusi program pencegahan, keselamatan dan pemulihan yang berimpak tinggi kepada semua golongan masyarakat;   

  • Memperluaskan jaringan keselamatan sosial yang lebih inklusif dan sejagat untuk meningkatkan kesedaran keterangkuman kewangan (financial inclusiveness) dan kesejahteraan pelanggan;   

  • Menyampaikan perkhidmatan berkualiti dan efisien melangkaui ekspektasi pelanggan selaras dengan konsep ‘ selaku pengamal keselamatan sosial menerusi pendigitalan pengoperasian  

Baca selanjutnya: Profil

  • Hits: 224207

Skim Bencana Kerja Pekerja Asing

Pekerja Asing

Pekerja asing termasuk ekspatriat dan pekerja domestik asing adalah dilindungi di bawah skim-skim berikut:

Skim Bencana Kerja

Perlindungan kepada pekerja asing yang mengalami kemalangan atau suatu penyakit khidmat yang berpunca atau terbit daripada pekerjaannya. Perlindungan di bawah skim ini meliputi kemalangan berikut:

  • Kemalangan semasa menjalankan pekerjaan
  • Kemalangan semasa dalam perjalanan seperti mengikut laluan di antara tempat kediaman atau tempat tinggal dengan tempat kerja, laluan di antara tempat kerja dengan tempat makan dalam masa rehat yang dibenarkan atau perjalanan dibuat bagi apa-apa sebab yang secara langsung berkaitan dengan penggajiannya.
  • Kemalangan semasa kecemasan
  • Penyakit khidmat

    Tarikh kuatkuasa: 1 Januari 2019

Skim Keilatan

Perlindungan kepada pekerja asing yang menghidap keilatan atau keuzuran yang berkekalan serta tidak berupaya mencari nafkah dengan kerja yang berpadanan dengan kekuatan dan tenaganya, sekurang-kurangnya satu pertiga (1/3) daripada keupayaan pekerja yang normal. Skim ini meliputi keilatan atau kematian akibat sebarang sebab.

Tarikh kuatkuasa: 1 Julai 2024

Syarat Kelayakan Pekerja Asing

  • Mempunyai pasport yang sah
  • Mempunyai pas kerja yang sah seperti Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), pas penggajian, pas khas dan lain-lain pas kerja seumpamanya

Pendaftaran & Pembayaran Caruman

Pendaftaran pekerja asing hendaklah dilakukan oleh majikan dan majikan wajib memastikan caruman dibayar sepenuhnya mengikut kadar yang telah ditetapkan. Kegagalan melaksanakan perkara tersebut adalah suatu kesalahan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan sekiranya disabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Kadar caruman bulanan yang WAJIB dibayar : Syer Skim Bencana Kerja Skim Keilatan Jumlah Caruman
Majikan 1.25% 0.5% 1.75%
Pekerja Asing - 0.5% 0.5%

Nota Penting :

Caruman Jenis Pertama (Skim Bencana Kerja dan Skim Keilatan)
Bagi pekerja asing yang berumur di bawah 55 tahun ketika mula memasuki atau pertama kali mencarum di bawah Skim Keilatan PERKESO.

Caruman Jenis Kedua (Skim Bencana Kerja)

  • Bagi pekerja asing yang telah mencapai 55 tahun dan ke atas serta belum pernah memasuki atau mencarum di bawah Skim Keilatan PERKESO sebelum ini; atau
  • Bagi pekerja asing telah mencapai umur 60 tahun dan masih bekerja.

Sila ke laman berikut untuk mengetahui lebih lanjut:

Pendaftaran Majikan

Kadar Caruman

Faedah yang disediakan

Skim Bencana Kerja

  • Faedah Perubatan

    Pekerja asing yang ditimpa bencana pekerjaan boleh mendapat rawatan perubatan secara percuma di klinik panel PERKESO atau klinik/hospital kerajaan; atau membuat tuntutan bayaran ganti belanja kos rawatan perubatan di Pejabat PERKESO.

    Bayaran Ganti Belanja

    Bagi caj rawatan yang diperoleh dari klinik/hospital bukan panel PERKESO, majikan atau pekerja asing boleh mengemukakan permohonan tuntutan ganti belanja dan bayaran tertakluk kepada Akta Fi 1951.

  • Faedah Hilang Upaya Sementara

    Tempoh Hilang Upaya Sementara

    • Faedah ini dibayar kepada pekerja asing sepanjang tempoh cuti sakitnya yang disahkan oleh doktor dan mestilah sekurang-kurangnya 4 hari termasuk hari kemalangan.
    • Walau bagaimanapun, faedah ini TIDAK akan dibayar pada hari di mana pekerja asing hadir bekerja dan dibayar gaji.

    Kadar Faedah Hilang Upaya Sementara

    • Kadar harian faedah ini adalah 80% daripada gaji harian purata anggapan pekerja asing tertakluk kepada kadar minimum RM30.00 sehari dan maksimum RM158.67 sehari.
  • Faedah Hilang Upaya Kekal

    Pekerja asing yang mengalami hilang upaya kekal akibat bencana pekerjaan boleh memohon faedah ini.

    Kadar Faedah Hilang Upaya Kekal

    • Kadar harian faedah ini adalah 90% daripada gaji harian purata anggapan pekerja asing tertakluk kepada kadar minimum RM30.00 sehari dan maksimum RM178.50 sehari.

    Tempoh Tuntutan

    • Had masa membuat tuntutan adalah dalam tempoh 12 bulan dari tarikh terakhir hilang upaya sementara.

    Taksiran dan Pembayaran

    • Tuntutan akan dirujuk ke Jemaah Doktor untuk taksiran hilang upaya kekal.
    • Sekiranya taksiran tidak melebihi 20%, bayaran boleh dibuat secara pukal.
    • Sekiranya taksiran melebihi 20%, 1/5 daripada kadar harian faedah tersebut dibayar secara pukal dan bakinya dibayar secara bulanan sepanjang hayat.
  • Elaun Layanan Sentiasa

    Pekerja asing yang menerima taksiran hilang upaya langsung yang kekal (100 peratus) dan memerlukan layanan seseorang lain, layak menerima elaun ini dengan pengesyoran Jemaah Doktor atau Jemaah Doktor Khas atau Jemaah Doktor Rayuan.

    Jumlah bayaran ini adalah sebanyak RM500.00 sebulan.

  • Kemudahan Pemulihan Jasmani

    Kemudahan ini diberikan kepada pekerja asing yang layak dalam bentuk pemulihan jasmani termasuk:

    1. Fisioterapi
    2. Pembedahan rekonstruktif
    3. Bekalan prostetik, ortotik dan lain-lain alat
    4. Bekalan ortopedik seperti kerusi roda, tongkat, alat pendengaran, cermin mata, kasut khas dan lain-lain

    Semua perbelanjaan kemudahan pemulihan di atas ditanggung oleh PERKESO mengikut kadar dan syarat-syarat yang ditetapkan.

  • Faedah Orang Tanggungan

    Orang tanggungan layak menerima faedah ini sekiranya pekerja asing meninggal dunia akibat bencana pekerjaan.

    Kadar Faedah Orang Tanggungan

    • Kadar harian adalah 90% daripada gaji harian purata anggapan pekerja asing tertakluk kepada kadar minimum RM30.00 sehari dan maksimum RM178.50 sehari mengikut syer kadar harian orang tanggungan.

    Orang Tanggungan dan Syer Kadar Harian.

    i. Orang tanggungan dan syer kadar harian adalah mengikut keutamaan berikut:

    Orang Tanggungan Syer Kadar Harian Keterangan
    Balu/Duda 3/5 Layak menerima faedah seumur hidup meskipun balu atau duda berkahwin semula

    Anak (Semua anak yang memenuhi syarat layak mendapat faedah termasuk anak kandung, anak tiri yang disara, anak angkat atau anak tidak sah taraf)

    2/5 Layak menerima faedah sehingga umur 21 tahun atau berkahwin (yang mana terdahulu)


    Jika sedang belajar di Institusi Pengajian Tinggi, faedah dibayar sehingga mendapat ijazah pertama atau berkahwin (yang mana terdahulu)
    Bagi anak yang terencat akal atau menjadi tidak berupaya secara fizikal dan tidak berupaya menanggung dirinya sendiri, layak menerima faedah selama tidak berupaya menyara kehidupannya


    ii. Jika seseorang pekerja meninggal dunia akibat bencana pekerjaan dan tidak meninggalkan balu atau, duda atau anak, Faedah Orang Tanggungan akan dibayar kepada:

    Orang Tanggungan Syer Kadar Harian Keterangan
    Ibu/Bapa 4/10 Layak menerima faedah seumur hidup
    Adik-beradik 3/10 Layak menerima faedah sehingga umur 21 tahun atau berkahwin (yang mana terdahulu
    Nenek/datuk 4/10 Layak menerima faedah seumur hidup

     

  • Faedah Pengurusan Mayat

    Pembayaran faedah akan dibuat kepada waris yang layak atau pihak yang menanggung kos pengurusan mayat. Jumlah bayaran adalah jumlah sebenar perbelanjaan ataupun maksimum amaun bayaran mengikut mana yang lebih rendah berdasarkan resit yang dikemukakan.

    Amaun maksimum bayaran faedah ini adalah seperti di bawah :

    • Jika kematian berlaku di Malaysia dan pengebumian berlaku di negara asal, bayaran tunai maksimum sebanyak RM7,500 termasuk kos penghantaran jenazah/abu ke negara asal.
      Nota: Hanya maksimum RM4,500 akan dibayar balik kepada pihak yang menanggung kos penghantaran pulang jenazah manakala RM3,000 akan dibayar kepada orang tanggungan pekerja asing.

    • Jika kematian dan pengebumian hanya berlaku di Malaysia, amaun maksimum sebanyak RM3,000 akan dibayar.

    • Bagi penerima faedah berkala, jika kematian dan pengebumian berlaku di negara asal, amaun maksimum sebanyak RM3,000 akan dibayar.
     

Skim Keilatan

  • Pencen Ilat

    Apa itu Pencen Ilat?

    • Dibayar kepada pekerja asing yang layak dan disahkan menghidap keilatan oleh Jemaah Doktor atau Jemaah Doktor Rayuan.
    • Dibayar bermula dari tarikh Notis Keilatannya diterima atau tarikh berhenti. kerja jika pekerja berhenti kerja selepas Notis Keilatan diterima oleh PERKESO.
    • Dibayar selama pekerja mengalami keilatan atau hingga meninggal dunia.
    • Digantikan dengan Pencen Penakat yang dibayar kepada orang tanggungan yang layak sekiranya pekerja asing meninggal dunia semasa menerima Pencen llat.
    • Keilatan disahkan berlaku semasa pekerja asing berada di Malaysia dan dalam tempoh sah pas kerja.

    Syarat Kelayakan

    • Belum mencapai umur 60 tahun pada masa Notis Keilatan diterima; atau
    • Sekiranya pekerja asing telah mencapai umur 60 tahun pada masa Notis Keilatan diterima, beliau perlu menunjukkan keterangan bahawa:
      i.   Menghidap suatu keadaan uzur yang berkekalan.
      ii.  Tidak berupaya mengambil bahagian dalam kegiatan yang mendatangkan keuntungan.

      iii. Keuzuran terjadi sebelum umur 60 tahun dan tidak lagi bekerja yang menguntungkan sejak itu.
    • Disahkan menghidap keilatan oleh Jemaah Doktor atau Jemaah Doktor Rayuan.
    • Memenuhi syarat kelayakan caruman yang telah ditetapkan sama ada Tempoh Kelayakan Penuh atau Tempoh Kelayakan Dikurangkan.

    Tempoh Kelayakan Penuh
    Pekerja asing disifatkan memenuhi tempoh kelayakan penuh jika:

    • Caruman bulanannya telah dibayar sekurang-kurangnya 24 bulan dalam tempoh 40 bulan berturut-turut sebelum bulan Notis Keilatan diterima oleh PERKESO; atau
    • Caruman bulanannya telah dibayar tidak kurang daripada 2/3 bulan-bulan genap yang terkandung dalam tempoh antara tarikh mula memasuki Skim Keilatan dengan tarikh Notis Keilatan diterima oleh PERKESO.

    Kadar Pencen Ilat Bagi Tempoh Kelayakan Penuh

    • Kadar Pencen Ilat yang layak diterima bagi tempoh kelayakan penuh adalah dari 50% hingga 65% daripada gaji bulanan purata anggapan tertakluk kepada pencen minimum sebanyak RM550 sebulan.
    • Pekerja asing layak menerima pencen dengan kadar permulaan 50% daripada gaji bulanan purata anggapan dan tambahan 1% bagi setiap 12 bilangan caruman selebihnya. Walau bagaimanapun ianya tertakluk kepada kadar pencen maksimum 65%.


    Tempoh Kelayakan Yang Dikurangkan
    Pekerja asing disifatkan memenuhi tempoh kelayakan yang dikurangkan jika:

    • Caruman bulanan telah dibayar tidak kurang daripada 1/3 daripada bilangan bulan genap dalam tempoh antara tarikh caruman mula kena dibayar dengan tarikh Notis Keilatan diterima oleh PERKESO.
    • Jumlah bilangan caruman bulanan yang telah dibayar dalam tempoh tersebut mestilah sekurang-kurangnya 24 bulan.


    Kadar Pencen Ilat Bagi Tempoh Kelayakan Dikurangkan
    Bagi tempoh kelayakan yang dikurangkan, kadar Pencen llat adalah 50% daripada gaji bulanan purata anggapan tertakluk kepada pencen minimum sebanyak RM550 sebulan.
    *Syarat kelayakan caruman merujuk pada caruman bulanan yang dibayar bagi Skim Keilatan PERKESO sahaja.

  • Bantuan Ilat

    Bantuan Ilat dibayar kepada pekerja asing yang disahkan menghidap keilatan oleh Jemaah Doktor atau Jemaah Doktor Rayuan tetapi tidak layak menerima Pencen Ilat kerana tidak memenuhi tempoh kelayakan caruman.

    Amaun bantuan ilat ini adalah sama banyaknya dengan jumlah caruman yang telah dibayar oleh pekerja asing dan majikan untuk Skim Keilatan dan dibayar secara pukal sekali sahaja.

  • Elaun Layanan Sentiasa

    Pekerja asing yang disahkan menghidap keilatan dan tidak berdaya dengan teruknya hingga sentiasa memerlukan layanan seseorang lain, layak menerima elaun ini dengan pengesyoran Jemaah Doktor atau Jemaah Doktor Rayuan.

    Elaun ini ditetapkan sebanyak RM500 sebulan.

  • Pencen Penakat

    Apa itu Pencen Penakat?

    Pencen Penakat dibayar kepada orang tanggungan yang layak apabila pekerja asing meninggal dunia yang tidak berkaitan pekerjaannya.

    Syarat Kelayakan

    • Pekerja asing meninggal dunia di Malaysia sebelum mencapai umur 60 tahun dan memenuhi syarat kelayakan caruman sama ada tempoh kelayakan penuh atau tempoh kelayakan dikurangkan; atau
    • Pekerja asing meninggal dunia semasa sedang menerima Pencen llat.

    Tempoh Kelayakan Penuh
    Pekerja asing disifatkan memenuhi tempoh kelayakan penuh jika:

    • Caruman bulanannya telah dibayar sekurang-kurangnya 24 bulan dalam tempoh 40 bulan berturut-turut sebelum bulan Notis Kematian; atau
    • Caruman bulanannya telah dibayar tidak kurang daripada 2/3 bulan-bulan genap yang terkandung dalam tempoh antara tarikh mula caruman kena dibayar di bawah Akta dengan tarikh kematiannya.


    Kadar Pencen Penakat Bagi Tempoh Kelayakan Penuh

    • Kadar Pencen Penakat yang layak diterima bagi tempoh kelayakan penuh adalah dari 50% hingga 65% daripada gaji bulanan purata anggapan tertakluk kepada pencen minimum sebanyak RM550 sebulan.
    • Orang tanggungan layak menerima pencen dengan kadar 50% daripada gaji bulanan purata anggapan, ditambah dengan 1% bagi tiap-tiap 12 caruman bulanan yang dibayar melebihi 24 bulan tertakluk kepada kadar pencen bulanan tidak melebihi 65%.

      Nota : Jika seseorang yang meninggal dunia itu adalah penerima Pencen llat, kadar Pencen Penakat adalah sama banyak dengan Pencen llat yang diterimanya.


    Tempoh Kelayakan Yang Dikurangkan
    Pekerja asing disifatkan memenuhi tempoh kelayakan yang dikurangkan jika:

    • Caruman bulanan pekerja asing telah dibayar tidak kurang daripada 1/3 daripada bilangan bulan genap dalam tempoh antara tarikh caruman mula kena dibayar dengan tarikh kematian.
    • Jumlah bilangan caruman bulanan yang telah dibayar dalam tempoh tersebut mestilah sekurang-kurangnya 24 bulan.


    Kadar Pencen Penakat Bagi Tempoh Kelayakan Dikurangkan
    Bagi tempoh kelayakan yang dikurangkan, kadar Pencen llat adalah 50% daripada gaji bulanan purata anggapan tertakluk kepada pencen minimum sebanyak RM550 sebulan.

    Orang Tanggungan dan Syer Kadar Harian
    Kadar harian faedah Pencen Penakat adalah mengikut keutamaan berikut:

    1. Jika pekerja asing telah berkahwin dan meninggalkan balu/duda atau anak.
    2. Jika pekerja pekerja asing tidak berkahwin dan meninggalkan ibu/bapa atau adik beradik atau nenek/datuk

    *Syarat kelayakan caruman merujuk pada caruman bulanan yang dibayar bagi Skim Keilatan PERKESO Sahaja.

  • Kemudahan Pemulihan Jasmani

    Apa itu Kemudahan Pemulihan Jasmani?
    Kemudahan pemulihan jasmani kecuali pemulihan vokasional dan rawatan dialisis.

    Antara contoh kemudahan pemulihan jasmani yang diberikan adalah seperti berikut:

    1. Fisioterapi
    2. Terapi pekerjaan
    3. Pembedahan rekonstruktif
    4. Bekalan prostetik, ortotik dan lain-lain alat
    5. Bekalan ortopedik seperti kerusi roda, tongkat, alat pendengaran, cermin mata, kasut khas dan lain-lain

    Semua perbelanjaan kemudahan pemulihan jasmani di atas ditanggung oleh PERKESO mengikut kadar dan syarat-syarat yang ditetapkan.

  • Faedah Pengurusan Mayat

    Pembayaran faedah akan dibuat kepada waris yang layak atau pihak yang menanggung kos pengurusan mayat. Jumlah bayaran adalah jumlah sebenar perbelanjaan ataupun maksimum amaun bayaran mengikut mana yang lebih rendah berdasarkan resit yang dikemukakan.

    Amaun maksimum bayaran faedah ini adalah seperti di bawah :

    • Jika kematian berlaku di Malaysia dan pengebumian berlaku di negara asal, bayaran tunai maksimum sebanyak RM7,500 termasuk kos penghantaran jenazah/abu ke negara asal.
      Nota: Hanya maksimum RM4,500 akan dibayar balik kepada pihak yang menanggung kos penghantaran pulang jenazah/abu manakala RM3,000 akan dibayar kepada waris pekerja asing.

    • Jika kematian dan pengebumian hanya berlaku di Malaysia, amaun maksimum sebanyak RM3,000 akan dibayar.

    • Bagi penerima pencen ilat, jika kematian dan pengebumian berlaku di negara asal, amaun maksimum sebanyak RM3,000 akan dibayar.

Inisiatif Tambahan

  • 1. Kos Penghantaran Pulang Jenazah


    Selain faedah yang dinyatakan di atas, PERKESO juga ada memberikan inisiatif tambahan sekiranya pekerja asing meninggal dunia di Malaysia akibat sebarang sebab yang tidak diliputi di bawah mana-mana skim perlindungan pekerja asing yang disediakan.

    Kos penghantaran pulang jenazah/abu pekerja asing yang telah meninggal dunia ke negara asal boleh dibayar balik oleh PERKESO maksimum sebanyak RM4,500.00 berdasarkan resit (tertakluk kepada perubahan semasa).

  • 2. Pelan Kad Sim ACare

    Kad Sim ACare adalah produk dari jenama Pusat Rehabilitasi PERKESO yang menyediakan pelan prabayar mudah alih untuk pekerja asing. Pelan ini turut menawarkan program repatriasi ke negara asal secara PERCUMA khusus sekiranya pengguna pekerja asing yang akif melanggan disahkan tidak berupaya untuk bekerja tertakluk pada terma dan syarat yang ditetapkan. Dapatkan maklumat lanjut dengan melayari laman web tersebut:
    https://www.mylifelines.com.my/about-acare/

Info Berkaitan

Muat-turun Flyers

Warta Kerajaan Persekutuan

Pemberitahuan Keselamatan Sosial Pekerja (Pengecualian Pekerja-Pekerja Asing)(Pembatalan) 2018

Pemberitahuan Keselamatan Sosial Pekerja (Pengecualian) (No.2) 2018

Pemberitahuan Keselamatan Sosial Pekerja (Pengecualian) 2018

Pemberitahuan Keselamatan Sosial Pekerja (Pengecualian) 2018

Perintah Keselamatan Sosial Pekerja - Pindaan Jadual Pertama (2024)

Peraturan-Peraturan Sosial Pekerja (Amaun Faedah Pengurusan Mayat) (Pindaan)(No. 2)2024

Pemberitahuan Keselamatan Sosial Pekerja (Pengecualian Faedah Bagi Pekerja Asing)2024

Baca selanjutnya: Skim Bencana Kerja Pekerja Asing

  • Hits: 276269

Menara PERKESO, Jalan Ampang, Kuala Lumpur

Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

1-300-22-8000

Copyright 2023 © Social Security Organisation | All rights reserved